Renang merupakan sukan olahraga yang dipertandingkan di sukan Olimpik. Berenang adalah satu sukan yang sesuai untuk semua orang tidak kira tua atau muda, lemah atau kuat, lelaki atau perempuan dan orang biasa atau atlet. Sukan renang merupakan sukan yang kompleks kerana ia melibatkan seluruh tubuh badan semasa melakukan renang. Sukan renang mempunyai banyak tujuan.
Antaranya adalah untuk keselamatan, dimana ia melibatkan keselamatan diri atau orang lain. Ini kerana dimana sahaja air seperti laut, sungai atau paya boleh menjadi tempat yang bahaya. Setiap tahun banyak kematian berlaku akibat lemas. Oleh itu, berenang sangat penting untuk semua orang kerana ia boleh menyelamatkan diri sendiri dan orang lain yang memerlukan bantuan semasa kecemasan.
Selain itu, renang juga merupakan aktiviti terapi dimana ia boleh menjadi rawatan perubatan yang berkesan kerana sokongan alam semula jadi air membolehkan prestasi pergerakan badan meningkat tanpa ketegangan secara mengejut. Berenang juga merupakan terapi kerana ia adalah cara terbaik untuk mengekalkan kesihatan dimana ia meningkatkan stamina otot dan merangsang sistem peredaran darah dan sistem pernafasan.
Berenang juga dikategorikan sebagai aktiviti rekreasi kerana berenang boleh dilakukan di sungai, laut atau tempat-tempat rekreasi seperti kolam air panas. Ia melibatkan ahli keluarga bagi mengisi masa lapang. Dalam masa yang sama, berenang membolehkan seseorang berlatih menjadi penyelamat nyawa atau dikenali sebagai lifeguard.
Kesimpulannya, berenang bukan sahaja melibatkan pertandingan. Ia juga melibatkan keselamatan, terapi, dan rekreasi. Oleh itu, berenang sangat penting bagi semua orang kerana ia bukan sahaja untuk menyihatkan badan malah ia sangat berguna untuk menyelamatkan diri atau orang lain yang lemas.